Monday, September 15, 2008

ANDAIAN UTAMA DALAM TEORI BAHASA

1.0 PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Teori bahasa ialah teori dalam linguistik deskriptif yang memperkatakan ciri – ciri dan fakta – fakta tentang struktur bahasa sejagat yang ada di dalam semua bahasa manusia di dunia ini. Justeru itu ahli – ahli falsafah bahasa berminat tentang andaian utama dalam teori bahasa ini untuk menjadi batu pengukur kejituan huraian tentang bahasa mana sekalipun kerana manusia secara sedia jadi mempunyai kebolehan untuk berbahasa.

1.2 OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kertas kerja ini ialah untuk membincangkan dan menjelaskan mengenai andaian utama dalam teori bahasa.

1.3 KAEDAH KAJIAN

Kaedah yang diguna pakai dalam kajian ini ialah dengan kaedah kepustakaan. Beberapa buah buku, majalah, jurnal dan artikel digunakan sebagai panduan

dan rujukan untuk menyiapkan tugasan ini.

1.4 BATASAN KAJIAN

Kertas kerja ini terbatas kepada perbincangan mengenai andaian utama dalam teori bahasa.

1.5 DEFINISI KONSEP

1.5.1 ANDAIAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Baru ( 1989 : 39 ) andaian didefinisikan sebagai contoh atau misalan ( yang tidak semestinya merupakan suatu kenyataan ) yang dikemukakan untuk menjelaskan sesuatu hujah ( untuk dijadikan bandingan dll ).

1.5.2 UTAMA

Utama pula bermaksud ( yang ) penting sekali, ( yang ) terpenting. ( Kamus Dewan Edisi Baru , 1989 : 1449 )

1.5.3 DALAM

Kamus Dewan Edisi Baru ( 1989 : 245 ) menyatakan dalam bererti yang

berkaitan dengan atau terbatas kepada lingkungan sesuatu.

1.5.4 TEORI

Teori bermaksud pendapat ( bersifat pandangan yang tidak dapat dibuktikan dengan kukuhnya ) yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara dll. ( Kamus Dewan Edisi Baru , 1989 : 1341 )

1.5.5 BAHASA

Kamus Dewan Edisi Baru ( 1989 : 78 ) pula mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang – lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan atau kelompok manusia ( di antara seorang individu dengan individu yang lain dsb )

2.0 ANDAIAN UTAMA DALAM TEORI BAHASA

Andaian yang utama dalam teori bahasa mengikut ahli – ahli falsafah bahasa ialah bahawa manusia secara sedia jadi mempunyai kebolehan untuk berbahasa ( Hashim Musa , 1994 : 25 ). Kebolehan itu sebenarnya merupakan sifat akal. Ahli – ahli neurolinguistik yang mengkaji hubungan antara jenis – jenis penyakit afasia telah membuat kesimpulan bahawa pertempatan sifat berbahasa ini kebanyakkannya di hemisfera kiri otak iaitu di bahagian Wernick dan Broca. Kecederaan pada bahagian Wernick menimbulkan jenis afasia yang berkaitan dengan permaknaan dan kenahuan bahasa, manakala kecacatan pada bahagian Broca umumnya menimbulkan jenis afasia yang berkaitan dengan pengujaran bunyi dan penyusunan bunyi – bunyi.

Sifat berbahasa ialah suatu kecekapan mengolah alat perantaraan perhubungan yang dipanggil bahasa. Kecekapan mengolah itu menurut ahli – ahli falsafah bahasa ialah apa yang dipanggil sebagai nahu akal iaitu kecekapan untuk mengait dan menghubung secara paradigmatik dan secara sintagmatik akan makna – makna kontekstual dalam otak untuk membuat apa yang dipanggil sebagai ayat akal. Ayat akal ini tidak mempunyai apa – apa lambang atau simbol, tetapi merupakan imejan – imejan dalam otak. Jadi apa yang boleh dipanggil lambang dapat dikesan di dalam otak melalui alat – alat elektronik pengesan otak. Pengolahan ayat akal ini sebenarnya merupakan satu jenis proses berfikir.

Oleh sebab berfikir adalah sifat semua manusia yang normal maka nahu akal yang mengolah ayat akal dalam proses berfikir itu adalah sejagat sifatnya. Barangkali inilah perantaraan perhubungan yang dikatakan mempunyai kebolehan luar biasa untuk berhubung tanpa menggunakan lambang bunyi, kerana dalam bentuk bahasa akal ini terdapat kesamaan dan kesalingfahaman yang sejagat. Bahasa akal ini juga yang digunakan oleh seseorang manusia dalam perhubungan dengan dirinya sendiri semasa berfikir atau bermonolog dalaman.

Nahu akal dan bahasa akal ini dikatakan wujud pada bahagian Wernick otak manusia. Bahasa akal ini apabila hendak dikeluarkan, mula – mula disalurkan ke bahagian Broca sebagai wasiat dalam bentuk impulses untuk mengalami proses pengekodan iaitu memasukkannya ke dalam satu sistem susunan yang teratur sehingga bertukar menjadi apa yang dipanggil nahu linguistik dalaman. Rumus – rumus nahu dalaman inilah yang bertugas untuk membentuk ayat – ayat linguistik dalaman yang juga hadir di dalam bahagian broca ini.

Untuk menukar ayat – ayat linguistik dalaman ini kepada ayat – ayat fonologis luaran maka dikenakan pula satu lagi mekanisme nahu yang dinamakan rumus – rumus fonologi yang juga telah diinternalisasikan oleh bahagian Broca. Mekanisme fonologis ini yang bersifat sedia jadi tetapi tidak sejagat jugalah yang mengawal pergerakan organ – organ pertuturan yang digunakan untuk mengeluarkan ayat – ayat fonologis sehingga menjadi pertuturan atau ucapan bunyi bahasa yang sebenarnya. Ucapan bunyi bahasa yang sebenar ini bersifat partikularistik dan individualistik.

3.0 PENUTUP

3.1 KESIMPULAN

Andaian yang utama dalam teori bahasa mengikut ahli – ahli falsafah bahasa menyatakan bahawa manusia secara sedia jadi mempunyai kebolehan untuk berbahasa membuktikan habitatnya terletak di dalam otak. ( Hashim Musa, 1994 : 25 ). Proses – proses pengeluaran bentuk – bentuk bahasa bagi andaian utama dalam teori bahasa ini dapat dirumuskan melalui tiga peringkat. Peringkat – peringkat tersebut adalah seperti berikut ( Hashim Musa, 1994 : 27 ).

Peringkat I : Bahasa akal yang dibentuk melalui nahu akal yang ada

secara innate dan sejagat di dalam bahagian Wernick.

Peringkat II : Bahasa linguistik dalaman yang dibentuk melalui nahu

linguistik dalam yang ada secara innate dan sejagat di

dalam bahagian Broca.

Peringkat III : Bahasa fonologis luaran yang bersifat luar dan

diterbitkan melalui organ ujaran manusia setelah

diterapkan rumus – rumus fonologi yang ada di dalam

bahagian Broca. Pada peringkat ini bahasa tidak lagi

bersifat sejagat tetapi berbeza antara satu

masyarakat bahasa dengan masyarakat bahasa yang

lain bahkan antara satu individu dengan individu yang

lain.

No comments: