Monday, September 15, 2008

INTERAKSI VERBAL DARI SUDUT MAKNA

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Interaksi verbal merupakan tindakan berbahasa yang diucap tutur kata ( lisan ) ataupun pengucapan bersuara yang mempunyai makna dan tafsiran lebih jelas dan ketara. Ia mudah difahami berdasarkan lambang atau simbol bersuara yang boleh ditafsir. Interaksi verbal bertujuan untuk melahirkan pemikiran, perasaan dan tindak balas terhadap sesuatu isu atau persoalan. Interaksi verbal berkaitan dengan sikap, tanggapan, status serta niat sesuatu pengucapan itu dilahirkan. Bagi masyarakat Melayu, pernyataan yang lahir dalam konteks bersuara ini sangat erat hubungannya dengan nilai dan budi masyarakat Melayu. Ini adalah kerana masyarakat Melayu mempunyai banyak tatacara yang terkandung dengan makna yang tersurat dan tersirat yang dapat dijadikan ukuran ketinggian nilai masyarakatnya.

Ketika berkomunikasi ataupun berinteraksi dengan orang lain, kita dihadapkan dengan bahasa – bahasa, aturan – aturan, dan nilai – nilai yang berbeza. Interaksi verbal akan mengambil kira tatacara yang dapat memenuhi sifat kehalusan dan kemurnian sesuatu bahasa serta budaya. Dalam komunikasi khususnya interaksi verbal, faktor penentuan makna seperti diksi, frasa, ayat serta konteks dan situasi yang digunakan harus dititikberatkan kerana aspek ini perlu dipertimbangkan demi keintiman dan keupayaaan menghasilkan tindak balas antara satu sama lain. Ketegangan yang memungkinkan wujudnya penolakan dalam komunikasi akan mengakibatkan perkongsian maklumat tidak dapat dilakukan. Justeru itu interaksi verbal boleh dijadikan sebagai cerminan budi masyarakat melalui novel – novel Melayu. Ini adalah kerana banyak makna yang tersurat dan tersirat tersimpul di dalam novel – novel Melayu tersebut.

1.2 Objektif Kajian

Kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji dan membincangkan tentang Interaksi Verbal dari Sudut Makna bersertakan huraian dan contoh – contohnya yang terdapat dalam lima buah novel yang saya pilih.

1.3 Kaedah Kajian

Proses penyiapan kertas kerja ini telah saya laksanakan dengan menggunakan kaedah kepustakaan. Beberapa buah buku, majalah, jurnal dan artikel digunakan sebagai panduan

dan rujukan untuk menyiapkan tugasan ini. Saya juga turut melayari beberapa laman web yang berkaitan untuk menjayakan penghasilan kertas kerja ini. Segala bahan yang diperolehi daripada pelbagai sumber ini dianalisis dan disusun mengikut kesesuaian untuk dikelaskan atau dikategorikan di bawah sub topik kertas kerja ini.

1.4 Batasan Kajian

Dalam tugasan ini, kajian saya terbatas kepada perbincangan mengenai Interaksi Verbal dari sudut Makna bersertakan huraian dan contoh - contoh yang terdapat dalam lima buah novel yang saya kaji. Novel – novel yang saya pilih adalah seperti berikut :

1. Saudagar Besar dari Kuala Lumpur ( karya Keris Mas )

2. Arus ( karya Anwar Ridhwan )

3. Tempat Jatuh Lagi Dikenang ( karya Adibah Amin )

4. Jalur Sinar di Celah Daun ( karya Zaharah Nawawi )

5. Daerah Zeni ( karya A. Samad Said )

1.5 Definisi Konsep

Menurut Kamus Dewan, Edisi Baru, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur,1989, INTERAKSI membawa maksud tindakan atau perhubungan aktif antara satu sama lain, tindakbalas antara dua atau beberapa pihak ( 1989 : 457 ). VERBAL pula bererti lisan; berbahasa ( Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, 2001 : 429 ). DARI membawa maksud sendinama yang menerangkan ( Kamus Dewan Edisi Baru, 1989 : 253 ). Perkataan SUDUT pula bermaksud pokok atau dasar pandangan ( penelitian, penyelidikan dll ), arah pandangan ( Kamus Dewan Edisi Baru, 1989 : 1232 ). MAKNA pula bermaksud erti atau maksud ( sesuatu perkataan dll ) ( Kamus Dewan Edisi Baru, 1989 : 790).

2.0 INTERAKSI VERBAL DARI SUDUT MAKNA

Masyarakat Melayu tidak suka berterus – terang. Mereka memilih cara berbahasa yang berhemah ketika berkomunikasi dalam kehidupan seharian. Ketelitian dan sikap berhati – hati dalam tindak tanduk dan pertuturan mereka ini berkait rapat dalam masyarakat Melayu. Ini disebabkan oleh wujudnya kekhuatiran masyarakat di sekeliling akan tersentuh atau tersinggung dengan kata – kata atau tindak tanduk yang mengandungi makna yang terlalu terbuka. Tambahan pula ketidakterbukaan menerima makna yang terlalu berterus - terang akan mendatangkan kesan yang negatif dalam hidup mereka. Di antaranya ialah wujudnya kerenggangan ikatan di antara mereka, komunikasi mereka tidak berlaku dengan intim di samping maklumat tidak diperolehi dengan semaksimum mungkin.

Oleh kerana itu, untuk mengelakkan berlakunya kesan – kesan tersebut di atas maka masyarakat Melayu mengambil langkah positif dengan menggunakan diksi, frasa, ayat serta konteks dan situasi yang bersesuaian dalam berinteraksi agar tidak mendatangkan makna yang menimbulkan ketegangan dan sekaligus mengakibatkan perkongsian maklumat tidak dapat dilakukan. Lantaran itu maka masyarakat melayu banyak menggunakan makna yang tersirat dalam karya novel – novel mereka demi mengukuhkan keintiman dan keupayaan menghasilkan tindak balas antara satu sama lain.

Makna tersurat di sini bermaksud makna yang diperoleh semata – mata daripada makna yang diujarkan. Manakala makna tersirat pula bermaksud makna yang diperoleh berbeza daripada makna yang diujarkan. Bahasa seperti ini timbul dalam masyarakat Melayu kerana timbulnya keinginan menyatakan sesuatu dengan maksud yang lain. Hal seperti ini dalam bahasa Melayu biasanya disebut sebagai peribahasa. Peribahasa ialah ayat yang khusus untuk makna yang tertentu. Makna tersirat terdiri daripada kiasan, bidalan, pepatah, perbilangan,lidah pendeta, cogan kata atau motto, pemeo dan ungkapan atau simpulan bahasa.

2.1 KAJIAN DARI SUDUT MAKNA DALAM LIMA BUAH NOVEL MELAYU

YANG SAYA PILIH

2.1.1 NOVEL“SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR” KARYA KERIS MAS

Mari kita lihat keratan karangan dari novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur di bawah ini. Kita boleh perhatikan bagaimana penulis menyampaikan makna melalui bahasa kiasan dalam karya beliau. Dalam satu dialog antara Encik Muhammad dengan Yang Berhormat Muhd. Yusuf, Yang Berhormat Muhd. Yusuf bertanya : ‘‘ Bagaimana perniagaan Encik Muhammad sekarang ? ” Encik Muhammad menjawab, ‘‘ Macam biasa. Menyusup – nyusup akar. ” Kemudian diteruskannya : ‘‘ Maklumlah dunia dagang ini macam hutan rimba bagi kita orang Melayu. ” ‘‘ Menyusup – nyusup akar ” itu adalah bahasa kiasan. Asalnya dulu dari peribahasa ‘‘ Ular menyusup akar tidak hilang bisanya ” . Dalam dialog itu Encik Muhammad merendahkan diri seolah – olah dia hanya satu makhluk kecil dalam hutan rimba, tidak dapat berjalan tegak mendada tetapi sebaliknya merendah – rendah di bawah – bawah.

Maksud kiasannya itu dikuatkannya dengan ‘‘ … dunia dagang ini macam rimba bagi kita orang Melayu. ” Yang Berhormat Muhd Yusuf meningkah : ‘‘ Encik Muhammad tak perlu merendahkan diri. Saya tahu tak banyak saudagar Melayu yang berjaya di Kuala Lumpur ini seperti Encik Muhammad. Kata orang, ‘‘ ular menyusup akar tak hilang bisanya. ” Dengan kembali kepada peribahasa yang sebenarnya ‘‘ ular menyusup akar tak hilang bisanya. ”, itu Yang Berhormat menyelesaikan dialog kiasan itu dengan harapan Encik Muhammad merasa terpuji dan senang hati. Ada tujuannya dengan pujian cara sindiran atau kiasan begitu.

Demikianlah hingga sekarang pun ada di antara orang bijak pandai atau golongan elit Melayu masih berdailog dengan menggunakan bahasa kiasan. Dalam zaman yang lampau kebijaksanaan orang dilihat daripada gaya bahasanya yang bersisip – sisip dengan bahasa kiasan. Kebudayaan Melayu sememangnya begitu, wujudnya sifat malu, tidak berterus - terang tetapi berselindung. Hati orang tidak boleh disakitkan. Hati sendiri dipuaskan dengan cara yang bijaksana. Dari kebudayaan itulah lahirnya bahasa kiasan.

Bangsa Melayu seperti bangsa lain juga ada sifat positif dan ada sifat negatifnya. Oleh kerana perkembangan kebudayaannya demikian rupa maka penentangan terhadap yang buruk atau penyokongan terhadap yang baik selalu dilakukan dengan sindiran dan kiasan. Tambahan pula bahasa merupakan hasil kebudayaan manusia maka bahasa Melayu amat kuat dipengaruhi oleh kebudayaannya. Hingga kini bentuk – bentuk hasil kebudayaan dalam bahasa itu masih kekal menjadi identiti Melayu.

Mari kita teruskan melihat betapa interaksi verbal terkandung makna tersirat itu dipakai dalam novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Yang Berhormat Muhd. Yusuf meneruskan dialog : ‘‘ Lagi pula saya dengar Encik Muhammad berkongsi dengan saudagar Cina yang paling kaya dan paling berpengaruh. ” Encik Muhammad segera menangkap kemungkinan ada sindiran di dalam ujaran Y.B Muhd. Yusuf itu kerana pada masa itu amat terkenal dan ramai berlaku orang Melayu berkongsi dengan orang Cina secara tidak jujur, yakni orang Melayu mendapatkan lesen, orang Cina yang menjalankan perniagaan. Cara ini dicemuh orang dengan gelaran kongsi Ali Baba.

Dia menjawab : ‘‘ Itulah mujurnya sedikit. Tapi itulah pula rumitnya. Kata orang, berkawan dengan harimau banyak bahayanya. ” Dengan jawapan itu Encik Muhammad ingin menyindir bahawa dia maklum akan ujaran Y.B itu tadi mungkin mengandungi sindiran bahawa dia pun berkongsi Ali Baba juga. Dengan kata ‘‘ mujur ” dia ingin membenarkan bahawa berkongsi dengan saudagar Cina yang kaya dan berpengaruh itu boleh menjadikan dia kuat. Tetapi dia mengatakan ada pula rumitnya lalu menyifatkan saudagar besar Cina itu sebagai “ harimau dan “ berbahaya ”. Dalam sindiran dan kiasan itulah dia ingin memastikan kepada Y.B Muhd. Yusuf bahawa dia bukan saudagar Ali Baba tetapi faham dan sedar benar akan bahayanya Sang Baba yang dikiaskannya sebagai “ harimau itu.

Dalam dialog Encik Muhammad dengan Y.B Muhd ini ada imbasan pemakaian bahasa kiasan itu secara menyeluruh , tidak sekadar sisipan untuk menyedapkan percakapan sahaja. Cuba perhatikan dialog ini : Kata Encik Muhammad : “ Dari pengalaman saya, Yang Berhormat, berkongsi dengan harimau, tak kira harimau itu Cina, India atau Melayu sendiri, memang banyak bahayanya. Kod moral dalam dunia dagang sangat kuat tetapi sangat runcing seperti hujung jarum … Jadi kalau kita berkongsi dngan harimau maka kita sepatutnya menjadi kancil. Jangan jadi harimau juga, apatah lagi menjadi gajah atau buaya. ” Sifat dari makna runcing seperti hujung jarum, kancil, gajah dan buaya itu mempunyai makna konotasi masing – masing yang tidak sama dengan makna denotasinya yang asal.

Y.B. Muhd. Yusuf sebagai orang Melayu yang setaraf kebijaksanaannya dengan Encik Muhammad tentu dianggap oleh Encik Muhammad faham akan konotasi makna kata – kata itu. Kiasan terhadap hujung jarum sudah digambarkan sebagai hakikat. Jadi dua orang Melayu, orang politik dan orang dagang akan menjadi kancil menghadapi sang harimau ( saudagar Cina ). Masing – masing merasa puas dapat menyatakan sikap masing – masing yang pada hakikatnya agak menyeleweng dari etika lapangan masing – masing dengan pasti tetapi tidak berterus - terang.

2.1.2 NOVEL “ ARUS “ KARYA ANWAR RIDHWAN

Melalui novel ini kita boleh perhatikan dialog di antara Pawang Kri dan Lebai Amrah yang menggambarkan mereka sedang berdebat pendapat dan prinsip yang berkaitan dengan agama. Lebai Amrah diibaratkan sebagai seorang penganut Islam yang taat manakala Pawang Kri pula dikatakan seorang Islam yang kafir lantaran tugasnya sebagai Pawang yang banyak jampi serapah dan dikatakan bertentangan fahaman dengan ajaran Islam. Oleh kerana itu Pawang Kri dituduh oleh Lebai Amrah sebagai orang Yahudi. Bagi seorang Islam yang taat, Lebai Amrah menyamakan orang Yahudi ( Pawang Kri ) dengan orang kafir. Contohnya dalam dialog ini: ‘ Apa yang ditunggu lagi ?’ damprat Lebai Amrah. ‘ Muka kau ditampal kulit buaya ya ? Jangan sampai engkau menyuruh pemuda – pemuda Kampung Tok Wali mencampakkan engkau ke Sungai Usar. Tinggalkan aku seorang. Aku tak mahu bersemuka dengan Yahudi.’ .

Penggunaan kata kulit buaya di sini bermakna Pawang Kri dikatakan tidak mempunyai sikap malu lagi. Walaupun sudah diusir tetapi masih tetap datang ke kampung Tok Wali. Lantaran itu Pawang Kri terus menjawab dengan perasaan marah ‘ Amrah ! ’ Suara lelaki itu menahan perasaannya. ‘ Aku nak beritahu kau, Imah baru meninggal dimakan buaya. Habis dua belah kakinya. ’ Perkataan dimakan dalam dialog ini jelas kekampungan bunyinya. Dalam dialog ini penulis mengandaikan gerak laku buaya boleh berlagak seperti manusia. Contohnya ungkapan dimakan buaya. Bahasa seperti ini biasanya digunakan oleh masyarakat lama terutama yang tinggal di pinggir desa. Sekarang perkataan dimakan itu digantikan dengan perkataan dibaham. Maknanya lebih sinonim dengan masyarakat moden kini.

‘ Apa kena – mengenanya peristiwa itu dengan aku ? Dengan Kampung Tok Wali? Kau orang seberang. Peristiwa itu hanya kena – mengena dengan orang seberang.’ ‘ Hanya aku sekeluarga tinggal di sana.’ ‘ Kau yang memilih untuk jadi kera sumbang, Pawang Kri. Terdapat makna tersirat dalam dialog ini. Misalannya, Kau orang seberang. Dialog ini membawa maksud bahawa Pawang Kri adalah orang yang tinggal jauh terpencil daripada penduduk Kampung Tok Wali selepas diusir. Penggunaan perkataan seberang menjelaskan lagi keadaan ini. Pawang Kri bersama keluarganya dipulaukan dari Kampung Tok Wali. Oleh itu Pawang Kri juga digelar kera sumbang. Kera sumbang merupakan simpulan bahasa yang bermakna orang yang tidak gemar bergaul atau bercampur dengan orang ramai.

Dialog ini membawa kita mengikuti cerita pokok cerita ini seperti tidak terganggu oleh perbezaan bahasa dialog dan bahasa narasi. Gaya ini disebut orang gaya formal, yakni dialog menggunakan bahasa formal bukan bahasa percakapan hari – hari yang tidak formal bentuknya. Tambahan pula makna yang terkandung dalam dialog ini lebih mudah difahami dengan gaya sebegini. Contohnya: Kata peristiwa dalam dialog, “ Apa kena – mengena peristiwa itu dengan aku ?” Lebih lumrah kalau dipakai kata perkara atau hal: “ Apa kena – mengena perkara ( hal ) itu dengan aku ?”; “ … memilih untuk jadi …” lebih lumrah kalau “ … nak jadi …”: “ Kau yang memilih untuk jadi kera sumbang. ( “ Kau yang nak jadi kera sumbang ” ).

Dalam karya sastera, kesan estetik dan kesan makna sama pentingnya. Dengan menggunakan bahasa formal dalam dialog, kesan makna menjadi jelas dan pemahaman cerita menjadi lebih mantap. Tetapi dengan menggunakan bahasa percakapan hari – hari suasana penceritaan menjadi lebih natural serta perwatakan mungkin lebih hidup dan kerana itu kesan estetik menjadi lebih indah.

Pemilihan kata serta penyusunan ayat yang dipakai dalam dialog karya kreatif yang kita bincangkan ini memperlihatkan kesan estetik pada suasana dan perwatakan tidak tenggelam di samping kesan makna dan cerita tetap pula jelas dan mantap. Ini barangkali kerana keseluruhan dialog itu berimbangan antara gaya formal dengan gaya tidak formalnya. Contohnya, ungkapan jangan sampai engkau menyuruh pemuda – pemuda Kampung Tok Wali …yang begitu formal bunyinya, ada pula muka ditampal kulit buaya yang cukup kampungan. Di samping tinggalkan aku seorang yang agak keinggerisan sedikit, ada pula jadi kera sumbang yang betul – betul Melayu. Jadi di sini ada dua jenis gaya yang boleh dipilih untuk dialog sedemikian. Keseimbangan kesan makna dan kesan estetik menjadi pokok pertimbangan dalam memilih gayagaya tersebut.

2.1.3 NOVEL “ TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG KARYA ADIBAH AMIN

Karya Adibah Amin ini banyak terkandung dengan makna tersurat dan makna tersirat melalui dialog – dialognya. Kata – kata dan ayat – ayat yang mengandungi makna tersurat serta makna tersirat ini adalah kebiasaan sopan santun bahasa Melayu yang datangnya dari hubungan masyarakat orang Melayu yang melahirkan semacam etika sopan santun dalam pergaulan. Dalam pergaulan yang sopan orang tidak memperkatakan yang buruk – buruk tetapi sebaliknya.

Bahasa yang sopan terdapat makna tersiratnya yang tidak sopan sepertimana dalam dialog ini: Sungguhpun kawan – kawan seasramaku mengatakan dia “ buas ”, kaki botol …. “ Buas ” mungkin bererti ganas dalam layanan terhadap perempuan tetapi disebut “ buas ” yang mungkin tafsirannya “ kaki botol ”. Namun oleh kerana cerita ini tentang gadis – gadis muda dan para pemuda yang berkelakuan liar maka makna tersirat tentang layanan ganas terhadap perempuan masih terbayang.

Bila aku bersamanya dia tidak pernah “ singgah ” di tempat – tempat yang ditunjukkannya kepadaku . “ Singgah ” dalam ayat ini mempunyai makna tersirat “ melakukan kejahatan ” kerana tempat yang dirayau oleh mereka dianggap menjadi sarang kejahatan. Tidak sentiasa mereka bawa aku ke tempat – tempat “ pelik ”. Kami sering duduk – duduk di tepi panggung Rex makan “ rojak simbah ” …. Kata “ pelik ” di sini bukan bermakna ganjil tetapi makna tersiratnya tempat – tempat yang mengandungi unsur tak senonoh dari segi moral. “ Rojak simbah ” itu pula bukannya nama rojak itu sebenarnya tetapi makna khas yang diberikan oleh “geng ” mereka kerana sebab – sebab tertentu yang tersirat juga maknanya. “ Mengisahkan hal yang bukan – bukan ” yang terdapat dalam cerita ini juga mempunyai makna tersirat. Konotasi dari kata – kata “ hal bukan – bukan ” ialah hal – hal yang bersangkutan dengan hubungan lelaki dan perempuan yang mengikut kesopanan Melayu tidak patut disebut terang – terangan.

Rentetan dari contoh - contoh dibincangkan di sini membuktikan bahawa cerita ini mempunyai tenaga bahasa yang lancar dan masih menyengat dengan penggunaan kata – kata dan ungkapan – ungkapan yang terkandung makna tersurat dan makna tersirat ini. Tenaga bahasanya disokong oleh suasana dan mood yang sesuai. Dialognya bersahaja. Misalnya, “ Hei, freshie ! ” “ Aku bukan freshie lagi. ” “ Bagiku kau tetap freshie. Susunan ayat dalam dialog ini dan juga kata freshie memberikan ia bentuk formal tetapi suasana dan moodnya memberikan rasa tidak formal. Ia menjadi lancar dan sesuai.

Orang, tempat, subjek dan peristiwa saling mengisi mood dan suasana untuk sebuah dialog yang berbunyi formal tetapi terasa tidak formal. Dengan dialog mudah dan lancar beginilah orang menyampaikan ilmu melalui seni, satu estetika yang lengkap, mengharukan perasaan di samping membangkitkan daya fikiran dan daya intelek. Namun begitu gaya ini tidak menarik untuk menghidupkan kebebasan perasaan secara abstrak. Ia agak polos, loncos, tidak berwarna – warni. Garisnya lurus – lurus dan asosiasi warnanya begitu rasmi.

2.1.4 NOVEL “JALUR SINAR DI CELAH DAUNKARYA ZAHARAH NAWAWI

Novel ini menceritakan tentang perjuangan hidup wanita di daerah perkampungan peneroka. Cerita ini dianggap istimewa dan menarik sebab kebebasan wanita sudah dikuasai yakni diterajui oleh watak Tijah. Semangat dan tenaganya mengatasi kaum lelaki, malah mengagumkan suaminya sendiri. Tijah digambarkan sebagai mempunyai kelebihan dalam melahirkan pendapat dan galakan.

Dia mempunyai fikiran yang lebih baik dalam perancangan mengatur kerja dan strategi kehidupan.Ini diakui oleh suaminya menerusi dialog ini ketika mereka berbincang: Pendapat Tijah ada benarnya. ‘ Patut dipakai,…’ Ungkapan ‘ patut dipakai ’ menegaskan lagi bahawa suaminya, Dali amat bersetuju dengan fikiran Tijah yang rasional, bersemangat, tabah dan berani itu. Dialog ini membawa makna bahawa hidup berumahtangga harus ada sikap bertolak ansur dan sedia menerima pendapat orang walaupun dari pihak isteri. Yang penting kesejahteraan hidup mereka. Tiada guna ego yang tinggi jika tidak mendatangkan sebarang keuntungan.

Contoh lain yang menunjukkan ketabahan Tijah mengharungi dugaan hidup adalah dari dialog ini: “ … Sekarang ini ikhtiar kita cuma untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda yang sikit ni…..” Makna yang tersirat dalam dialog ini ditonjolkan oleh watak Tijah sebagai seorang wanita yang tahu bersyukur dan redha atas apa saja ujian yang datang daripada Allah.. Sepertimana yang kita ketahui dalam Islam sikap isteri begini tergolong dalam wanita yang solehah. Ini dibuktikan dengan kesungguhan Tijah bersama suaminya “ untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda yang sikit ni…..” Jika orang itu tidak tahu bersyukur dan redha dengan dugaan, mereka tidak akan bersikap seperti Tijah. Mereka akan kecewa dan tidak menghargai harta yang tidak seberapa itu.

Dalam novel ini juga Tijah diibaratkan sebagai sinar dalam keluarga Dali. Hal ini tersimpul dalam perlakuan dan dialog ini: “ Seperti sinar matahari itu, Dali menunjuk pada cahaya indah di balik rimbunan daun – daun ……..” Dialog “ seperti sinar matahari itu ” ini terpancul keluar dari mulut Dali kerana dia mengagumi isterinya berjaya menguasai keseluruhan kehidupan keluarganya dengan ketabahan dan kecekalan Tijah dalam beberapa hal yang dia sendiri tidak mampu hadapi. Ini bermakna penulis berjaya membakar semangat kaum wanita agar sama berdaya saing dengan kaum lelaki yang sebelum ini dianggap lemah melalui watak Tijah. Pemilihan kata seperti kata sinar menimbulkan rasa dihargai. Kata sinar membawa makna cahaya atau sesuatu yang penting dalam hidup Dali, sepertimana cahaya matahari penting bagi kehidupan makhluk yang terdapat di atas muka bumi ini.

2.1.5 NOVEL “ DAERAH ZENI KARYA A. SAMAD SAID

“ Ya, ya, aku pun tidak menderita,” kata Zedi, nadanya lebih mengejek. “ Kita ketiga – tiganya sedang bahagia, amat bahagia,” Zedi mula ketawa panjang, kemudian menipis menjadi tangisan. “ Tengok diri aku, tengok diri kakak, tengok diri bapa. Kita ketiga – tiganya manusia bahagia raya ! ” Dialog ini mengiaskan keadaan penderitaan yang ditanggung keluarga Zeni teramat perit hinggakan disamakan dengan sesuatu yang sebaliknya iaitu bahagia. Dialog “ Ya, ya, aku pun tidak menderita,” kata Zedi, nadanya lebih mengejek ini dilontarkan oleh Zedi terhadap kakaknya, Zeni yakni ketidakpuas hatiannya dengan keperitan hidup mereka walaupun disangkal oleh Zeni. Ini jelas menunjukkan bahawa Zedi seorang yang mudah putus asa dan kecewa berbanding dengan kakaknya yang lebih cekal dan tabah daripadanya.

Rasa kecewa Zedi itu boleh didapati dari ayat ini Zedi mula ketawa panjang, kemudian menipis menjadi tangisan. Dalam dialog ini walaupun dia semacam ketawa iaitu macam orang gembira tetapi sebenarnya patah hati. Sebab itu ketawanya disusuli dengan tangisan akhirnya. Itulah perasaan sebenar Zedi. Dialog ini terlalu mendalam makna penyampaiannya. Makna tersirat banyak bermain dalam dialog ini. Contoh lain seperti penggunaan ungkapan bahagia raya. Zedi sebenarnya mengandaikan bahawa kehidupan mereka terlalu susah tetapi sebaliknya mengiaskan maksud sebaliknya.

Keperitan hidup Zeni bukan setakat itu saja malah dalam soal rumah tangga. Dia merupakan janda yang telah bertemu dengan cinta baru. Walaupun demikian dia tidak mahu lalai dengan kebebasan yang ada padanya sekarang. Aku tak mahu itu berulang. Itu sebabnya aku berhati – hati dan teragak – agak …Dialog ini menunjukkan sikap berhati – hati Zeni sebelum derita lama berulang lagi. Dialog ini wujud di antara Zeni dan Zedi ekoran daripada kehadiran surat dari bekas suaminya.

“ Aku berhati – hati… Kau … kau tahu itu ? ” Zeni memotong. “ Kita tak boleh mudah terima kilat pertama. Kau.. kau faham itu ?” Dialog ini mengambarkan Zeni seorang yang tidak mudah terpedaya dan tidak mudah mengalah dengan cubaan yang dialaminya sekarang walaupun adiknya memuji teman baru Zeni. “ Walaupun dengan orang seperti Ehran ? Dia … dia jenis orang yang ingin membina. Jenis ini terlalu sukar dijumpa …” Ini bermakna Zeni seorang yang cukup tegas dalam hal hidupnya. Dialog “ Aku tak mahu itu berulang. ” menjadi pegangan supaya dia tidak terjerumus dalam kegagalan lagi. Penggunaan perkataan berulang membawa makna sebagai peringatan agar Zeni lebih berhati – hati di masa akan datang.

Hidup seksa Zeni yang berpunca dari bekas suaminya itu bukan berakhir dengan mudah. Hingga penamat cerita dalam novel ini pun penulis masih memaparkan kehidupan Zeni dibelenggu kisah silam bersama bekas suaminya masih bermain di fikiran Zeni. Ingatannya terhadap bekas suaminya semakin kuat hinggakan dia meluat apabila Zeni bertemu dengan Ehran, teman barunya.

Perasaan geram dan meluatnya diperhatikan melalui dialog ini: “ Tak cukup dia meracun aku, sekarang dia meracunmu juga.” Dan dengan suara yang lebih marah Zeni menambah: …….Peracuuuun ! ” Penggunaan perkataan Peracuuuun menguatkan lagi bekas suaminya memang pemusnah kehidupannya dulu. Penulis mengiaskan dengan perkataan meracun yakni bermakna menyeksa, sesuatu yang berunsur pemusnahan.

3.0 KESIMPULAN

Berdasarkan novel – novel yang saya pilih di atas, interaksi verbal dari sudut makna menerusi dialog – dialog lebih jelas kita fahami setelah menguraikan makna tersurat dan makna tersirat yang terkandung di dalamnya. Penggunaan diksi, frasa, ayat serta konteks dan situasi yang bersesuaian melahirkan interaksi yang mencapai perkongsian maklumat semaksimumnya. Bagi masyarakat Melayu interaksi verbal ini sangat erat hubungannya dengan nilai dan budi masyarakatnya. Oleh itu novel – novel boleh dijadikan penyalur untuk masyarakatnya menitipkan makna tersurat dan tersirat yang terkandung di dalamnya. Ini adalah kerana novel – novel boleh berperanan sebagai cerminan budi masyarakat Melayu untuk menyampaikan makna – makna.

Dalam komunikasi khususnya interaksi verbal, faktor penentuan makna seperti diksi, frasa, ayat serta konteks dan situasi yang digunakan harus dititikberatkan kerana aspek ini perlu dipertimbangkan demi menghasilkan tindak balas antara satu sama lain. Ini membuktikan interaksi verbal boleh dijadikan sebagai cerminan budi masyarakat melalui novel – novel Melayu. Ini adalah kerana banyak makna yang tersurat dan tersirat tersimpul di dalam novel – novel Melayu tersebut.

Misalannya penggunaan bahasa kiasan yang pada asalnya berupa peribahasa, pepatah, perumpamaan, perbandingan, bidalan dan ungkapan masih menjadi perhiasan gaya bagi bahasa Melayu. Bagi bahasa Melayu bentuk struktur dan pola bahasa kiasan asal itu sudah wujud semenjak zaman berzaman. Peribahasa, bidalan, perumpamaan, ungkapan dan perbandingan lama itu hidup dan masih diguna pakai sehingga kini. Dalam perkembangan bahasa Melayu yang sejajar dengan perkembangan fikiran dan kebudayaan Melayu bahasa kiasan itu pun ikut berkembang. Tetapi bentuk atau pola strukturnya ada yang mengalami perubahan dan kata – kata yang membentuknya pun sudah banyak yang baru. Bahasa kiasan ini merupakan makna tersirat yang banyak terdapat dalam novel – novel yang saya pilih bertepatan dengan nilai dan budi masyarakat Melayu yang tidak suka berterus - terang demi keakraban hubungan di antara mereka.

Justeru itu maka sahihlah pendapat yang mengatakan bahawa bahasa yang baik ialah yang betul tatabahasanya dan memberi makna. Betul tatabahasa tetapi tidak memberi makna bukanlah bahasa yang baik. Dan ini amat tepat dengan fungsi bahasa yang secara lingkup dikatakan alat komunikasi ataupun alat untuk berinteraksi. Ini bermakna bahasa sebagai medium komunikasi. Bahasa sebagai satu sistem lambang yang bersifat abritrari. Bahasa sebagai suatu gubahan yang dapat memberi makna dan tindakbalas serta bersifat verbal. Makna yang hendak kita sampaikan itulah yang menjadi pokok bagi kita memilih kata mana yang akan kita pakai.

Oleh itu para penulis, khususnya penulis sastera sepertimana penulis novel – novel Melayu yang saya pilih amat terlibat dengan peranan semantik ini kerana makna yang hendak disampaikan itu bukan sekadar makna yang lahir saja tetapi juga adakalanya makna yang lebih dalam dan lebih luas yang sekaligus menyangkut perasaan dan fikiran. Untuk tujuan ini maka interaksi verbal dari sudut makna yang saya kaji menerusi novel – novel Melayu yang saya pilih menepati keadaan yang dimaksudkan di atas.

BIBLIOGRAFI

A. Samad Said ( 1985 ). Daerah Zeni. Petaling Jaya : Fajar Bakti.

A. Wahab Ali ( 2000). Kritikan Estetika Sastera. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Adibah Amin ( 1983 ). Tempat Jatuh Lagi Dikenang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Mahmood Musanif dan Arbak Othman ( 2001 ). Teori Linguistik. Kuala Lumpur : Penerbit Sarjana.

Ali Ahmad ( 1994 ). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anwar Ridhwan ( 1985 ). Arus. Petaling Jaya : Pustaka Cipta.

Arbaie Sujud ( 2006 ). Retorika Bahasa dan Apresiasi Sastera. Kuala Lumpur : Tinta Press Sdn Bhd.

Asmah Hj. Omar ( 1992 ). Kajian dan Perkembangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Hj. Omar ( 1988 ). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Azhar M. Simin ( 1993 ). Sintaksis – Wacana ‘ Yang ‘ dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gorys Keraf ( 1984 ). Diksi dan Gaya bahasa. Jakarta : P.T. Gramedia.

Hamidah Abdul Hamid ( 1995 ). Penghantar Estetika. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Henry Guntur Tarigan ( 1985 ). Pengajaran Gaya Bahasa. Bandung : Penerbit Angkasa.

Henry Guntur Tarigan ( 1995 ). Pengajaran Wacana. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Awang ( 1997 ). Kritikan Kesusasteraan teori dan penulisan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ilias Hj. Zaidi ( 1991 ). Bahasa Melayu STPM. Kuala Lumpur : Penerbit Elman.

Ismael Mohamad ( 2002 ). Kesusasteraan Melayu. Selangor : Penerbitan Nadi Ilmu Sdn Bhd.

Keris Mas. ( 1982 ). Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh ( 1996 ). Pengajaran Sastera . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamarudin Saat ( 1988 ). Kesusasteraan Melayu Lama. Negeri Sembilan : Pustaka Thaju Pelajaran.

Kathiresan D ( 1999 ). Warna Sari Sastera Melayu Moden. Selangor : Addison Wesley Logman Malaysia Sdn Bhd.

Keris Mas ( 1988 ). Gaya Bahasa Sastera. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lufti Abas ( 1986 ). ‘ Teori Estetika ‘ dalam Dewan Sastera. Mac – Ogos.

Mohd Kassim Ismail ( 2007 ). Bahasa dalam Kesusasteraan Melayu. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi : UPM Serdang.

Rajiee Hadi dan Lim Swee Tin ( 1993 ). Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur : Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.

Raminah Sabran dan Rahim Syam, ( 1985 ). Kajian Bahasa. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Safian Ahmad ( 1981 ). Seni Tanggapan Sastera. Petaling Jaya : Bakhtiar Press Sdn Bhd.

Umar Junus ( 1989 ). Stilistik : Satu Pengantar. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaharah Nawawi ( 1981 ). Jalur Sinar Di Celah Daun. Kuala Lumpur : Berita Publishing Sdn. Bhd.

No comments: