Monday, September 15, 2008

PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM PUISI MELAYU LAMA

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Puisi merupakan karangan yang mempunyai rangkap. Bila disebut sahaja puisi ianya memang sinonim dengan masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu memang kaya dengan khazanah puisinya. Karya seni ini telah menghiasi kehidupan masyarakat pada masa yang lampau. Boleh kita katakan di sini puisi mempunyai kedudukan yang tinggi dan cukup istimewa pada suatu ketika dahulu. Keunggulan ciptaan puisi Melayu pada masa lampau melambangkan kesungguhan pujangga silam yang tinggi nilai intelektualnya. Hasil gubahan dan ilham mereka banyak membawa makna pada pendengarnya. Penggunaan bahasa amat ditekankan secara menyeluruh pada puisi. Di samping itu karyanya juga mengambarkan perasaan dan pemikiran bangsa Melayu itu sendiri, maka hasilnya adalah dalam bentuk yang indah dan dapat memenuhi serta memuaskan selera pendengar bangsa ataupun masyarakat Melayu pada masa itu.

Ramai sarjana berpendapat bahawa puisi Melayu lama merupakan hasil karya yang tertua dan terawal sekali dalam masyarakat Melayu. Ia hadir dalam masyarakat Melayu sejak zaman bangsa Melayu belum mengenal erti lagi apa itu tulisan. Dalam berkarya, masyarakat Melayu lebih bersikap kolektif. Mereka tidak bersikap individualistik. Mereka menganggap puisi - puisi yang mereka cipta itu merupakan hak bersama. Kata – kata yang digunakan dalam puisi – puisi Melayu lama merupakan ungkapan – ungkapan terpilih. Ia bertujuan untuk menarik perhatian lebih kepada pendengar. Justeru itu mereka memilih kata – kata dengan sengaja atau dengan tidak sengaja, sehingga lebih keras menembusi ke dalam jiwa kita. ( Hooyykas 1977 : 5 )

1.2 Objektif Kajian

Kertas kerja ini bertujuan untuk mengkaji tentang Penggunaan Bahasa Melayu dalam Puisi Melayu Lama iaitu mantera dari segi semantik, sintaksis, leksikon, dan pengaruh bahasa asingnya.

1.3 Kaedah Kajian

Proses penyiapan kertas kerja ini telah saya laksanakan dengan menggunakan kaedah kepustakaan. Disamping itu saya juga merujuk beberapa buah buku dan artikal yang berkaitan dengan kajian saya. Saya juga turut melayari beberapa laman web yang berkaitan untuk menjayakan penghasilan kertas kerja ini. Segala bahan yang diperolehi daripada pelbagai sumber ini di analisis dan disusun mengikut kesesuaian untuk dikelaskan atau dikategorikan di bawah sub topik kerta kerja ini.

1.4 Batasan Kajian

Dalam tugasan ini, kajian saya terbatas kepada Penggunaan Bahasa Melayu dari segi semantik, sintaksis, leksikon, dan pengaruh bahasa asing dalam salah satu Puisi Melayu Lama iaitu mantera.

1.5 Definisi Konsep

Menurut Kamus Dewan, Edisi Baru, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur , 1989, Penggunaan membawa maksud perihal menggunakan sesuatu ( 1989 : 384 ). Bahasa pula bererti sistem lambang – lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia ( di antara seorang individu dengan individu yang lain ) ( 1989 : 78 ). Melayu membawa maksud nama suatu bangsa dan bahasa ( terutama di Semenanjung Malaysia ) ( 1989 : 814 ). Perkataan dalam pula bermaksud yang berkaitan dengan / terbatas kepada lingkungan sesuatu ( seperti negeri, keluarga dan lain – lain. ) ( 1989 : 245 ). Puisi pula bermaksud karangan yang berbentuk sajak ( syair, pantun dan lain- lain ) ( 1989 : 989 ). Manakala perkataan lama pula bermaksud wujud pada zaman sebelum ini / zaman dahulu, kuno, tua ( 1989 : 698 ).

2.0 PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM PUISI MELAYU LAMA

2.1 Mantera

2.1.1 Semantik

Semantik adalah istilah yang merujuk kepada kajian makna. Sebagaimana yang kita ketahui makna itu merupakan sebahagian daripada bahasa. Dalam kajian ini saya akan mengkaji beberapa maksud yang tersirat dan tersurat di dalam puisi Melayu Lama iaitu mantera.

Sebagaimana yang kita ketahui, puisi Melayu Lama yang terawal sekali wujud dalam masyarakat Melayu adalah mantera. Dalam bahasa Melayu, mantera dianggap sebagai jampi dan serapah. Contohnya dapat diperhatikan dalam mantera berikut.

Assalamualaikum di langit

Waalaikum salam di bumi

Aku minta tabik

Orang yang pegang tanahair di sini

Assalamualaikum Nang Peri

Hantu Tanah jembalang bumi

Engkau berdiri

Engkau beralih daripada sini

Engkau jangan cacat cela cedera usik di sini

Engkau jaga sini jangan bagi sana – sini

Aku upah Engkau tiga mayang

( Mentera mengambil padi )

Mantera di atas digunakan oleh masyarakat Melayu semasa hendak mengambil padi yang telah masak.

Ungkapan Aku minta tabik, baris ketiga, ianya membawa erti mohon dihormati seruan dan sapaan kepada kuasa yang terdapat di langit dan di bumi sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Sekiranya mereka tidak hormat pada sesuatu kuasa itu nescaya pekerjaan mereka itu tidak akan menjadi. Penggunaan perkataan aku di sini boleh kita ertikan juga dengan saya, hamba manakala perkataan tabik menunjukkan tanda hormat masyarakat Melayu dengan kuasa ghaib pada masa itu. Kepercayaan kepada kuasa ghaib ini dianggap sebahagian daripada kehidupan mereka.

Lihat Orang yang pegang tanahair di sini ”, orang dalam unggapan ini bermakna yang memerintah atau makhluk yang berkuasa, kuasa ghaib, tempat untuk mengadu sekiranya terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh mereka atau seruan pada Tuhan yang berkuasa di atas alam semesta ini.

“ Hantu Tanah jembalang bumi ”, “ Engkau berdiri ”, “ Engkau beralih dari sini ”, ungkapan ini menunjukkan ada satu kuasa jahat yang perlu diseru dan dihalau supaya tidak mengganggu mereka untuk melakukan sesuatu kerja. Hantu atau jembalang merupakan makhluk yang paling jahat tambahan pula makhluk tersebut tidak boleh dilihat dengan mata kasar kita. Hantu dan jembalang ini yang selalu mendatangkan musibah pada mereka. Oleh sebab itu si pembaca mantera / bomoh / pawang ini tadi menggunakan bahasa yang sesuai dan gramatis bagi tujuan menyeru dan menghalau kuasa jahat ini tadi.

2.1.2 Sintaksis

Bidang ini pada hakikatnya mengkaji cara – cara bagaimana perkataan – perkataan disusun supaya menjadi rangkaikata. Contohnya terdapat dalam mantera seperti berikut.

Tanam pokok di tanah lembut

Anak puteri mengembar rambut

Aku menanam sebiji benih

Aku menanam sebatang pokok

Aku menanam segala pokok

Bila tumbuh suburlah ia.

( Mentera suburkan pokok )

Ternyata masyarakat Melayu pada zaman dahulu bijak menyusun dan memilih perkataan – perkataan sehingga menjadi ayat yang gramatis. Ketelitian pemilihan kata – kata amat mudah difahami oleh sesiapa sahaja yang mendengarnya. Contohnya seperti di bawah ini :

a. Aku menanam sebiji benih

b. Aku menanam sebatang pokok

c. Aku menanam segala pokok

Ayat – ayat itu tadi di susun mengikut kronologi bagaimana hendak menanam pokok sehinggalah pokok tersebut tumbuh dengan suburnya. Struktur frasa atau ayat dalam bahasa Melayu, kalau tidak dijelaskan melalui pola intonasinya dapat menimbulkan tafsiran yang berbeza – beza. Dalam bahasa lisan kekeliruan atau kekaburan ini jarang berlaku kerana ianya dapat dijelaskan dengan intonasi – intonasi tertentu. Perhatikan contoh berikut :

Aku menanam sebatang pokok




Dalam contoh ayat di sebelah terdapat empat buah kata, aku, menanam, sebatang, dan pokok. Kata – kata merupakan konstituen ayat tersebut. Maka ayat ini mudah difahami. Susunan ayat ini melambangkan penggunaan bahasa yang mudah difahami oleh si pendengar iaitu kuasa ghaib. Dalam proses pembinaan ayat dalam mantera ini ternyata kebanyakannya menggunakan bahasa yang mudah dan sesuai digunakan untuk menyeru dan menyatakan sesuatu pada alam ghaib.

2.1.3 Leksikon

Leksikon merupakan senarai perkataan atau perbendaharaan kata yang berhubung dengan sesuatu bidang yang tertentu ( Kamus Dewan 1986 : 675 ). Pemilihan kata – kata yang sesuai amat penting bagi mengungkapkan bicara dalam sesebuah mantera. Pemilihan kata ini bertujuan untuk menarik perhatian kuasa – kuasa ghaib supaya kuasa – kuasa ghaib tersebut dihormati. Perhatikan mantera ini :

Hai hantu jembalang

datang di bukit balik ke bukit

datang dari pusu balik dari pusu

datang di pohon balik ke pohon

datang di gunung balik ke gunung

sekarang kau pulang ke tempat asalmu.

( Mantera pengusir atau penghalau hantu )

Penggunaan perkataan hantu dan jembalang memang sesuai bagi mantera ini. Perkataan ini dipilih berdasarkan kegunaan mantera tersebut. Hantu dan jembalang adalah nama panggilan bagi makhluk halus itu. Penggunaan kata itu memang sesuai digunakan oleh masyarakat Melayu kerana ketika itu masyarakat Melayu percaya akan kuasa – kuasa ghaib ( animisme ) . Ini adalah kerana mereka mempercayai kewujudan kuasa ghaib ( super nature ) itu.

Perkataan datang dari, menunjukkan jembalang atau hantu ini tinggal ditempat tersebut dan menyeru supaya kuasa ghaib tersebut pulang ke tempat asal mereka. Pusu, pohon dan gunung dipilih oleh pawang atau bomoh berdasarkan tempat tinggal kuasa – kuasa ghaib tersebut. Pusu di sini bermaksud busut. Perkataan- perkataan ini digunakan untuk melambangkan masyarakat Melayu pada ketika itu mempunyai hubungan yang kuat dengan alam persekitaran. Ini adalah kerana setiap unsur – unsur seperti tanah, air, api, dan angin memainkan peranan yang penting dalam kehidupan mereka. Tingkat pengetahuan dan corak pemikiran itu banyak berkisar pada unsur spiritual, kuasa ghaib, dan alam nyata. Pemilihan kata – kata ini melambangkan ketelitian Si Pawang membacanya. Seandainya ada perkataan yang tidak betul nescaya sesuatu perkara yang tak baik akan menimpa Si Pawang itu tadi.

2.1.4 Pengaruh bahasa asing.

Kedatangan Islam dan Hindu sedikit sebanyak telah mengubah ungkapan- ungkapan yang terdapat dalam mantera masyarakat Melayu.

Hong Sikumari Hong

Anak harimau turun bergenta

Jangan kamu turun ke kaki

Usah kamu naik ke muka

Tetaplah kau dipusat

( Mantera elakkan darah gemuruh )

Perkataan Hong Sikumari Hong ini dipercayai daripada bahasa Melayu Lama yang ada kaitannya dengan kepercayaan animisma. Apabila kedatangan Islam, mantera yang dahulunya seratus peratus berunsur animisma sudah ditokok tambah dengan unsur – unsur Islam, iaitu dengan menyambung rangkap tadi dengan perkataan – perkataan seperti Allah, Muhammad dan Lailaha Ilallah. Perkataan – perkataan ini merupakan perkataan dari bahasa Arab, sinonim dengan asalnya ajaran / agama Islam, contohnya :

Ditetapkan Allah

Ditetapkan Muhammad

Dengan berkat kata Laillaha Ilallah

Kita lihat pula mantera di bawah ini :

Bismillah berkat

Berkat Rahman

Berkat Rahim

Berkat dengan Nabi Ayub

Sedap tetap bumi langit

Engkau tak gerak

Hai anakku yanag empat nama

Marilah balik ke anjung istana.

( Mantera sebelum padi dibawa pulang )

Perkataan Bismillah, Rahman, Rahim dan Nabi merupakan pengaruh bahasa asing yang digunakan dalam mantera itu tadi. Sebagaimana yang kita ketahui bahasa itu berasal dari bahasa Arab. Manakala perkataan bumi pula merupakan pengaruh dari bahasa Sanskrit. Dalam bahasa Sanskrit bumi disebut bhumih ( alam ). Selain daripada contoh mantera di atas terdapat banyak lagi pengaruh bahasa asing diselitkan di dalam pengucapan mantera. Contohnya seperti assalamualaikum, waalaikumsalam, Qulhuwallah huahad, dan Muhamardar Rasulullah. Biasanya penggunaan bahasa ini digunakan untuk permulaan dan mengakhiri bacaan sesuatu mantera tersebut.

Selain daripada bahasa Arab, bahasa sanskrit atau pengaruh Hindu juga digunakan dalam pengucapan kalimat mantera tersebut. Ini dapat kita lihat dalam mantera di bawah ini :

Hai Raja Hanuman

Aku tahu kera asalmu

Ibumu Tuan Puteri Sita Dewi

Bapamu Raja Seri Rama

Mu membawa sinjah tarik si anu kepada diri aku

Gila si bara, mabuk bingung

Dengar – dengar pesanan aku

Jikalau mu tak dengar aku sumpah.

( Mantera Ilmu Pengasih )

Perkataan Raja Hanuman, kera, Sita Dewi dan Seri Rama digunakan. Ianya memasukkan unsur Hindu di mana bahasa tersebut berasal daripada bahasa Hindu atau pun bahasa Sanskrit. Bahasa ini banyak digunakan dalam pengucapan kalimat mantera. Bahasa ini mungkin sesuai digunakan pada masa itu kerana bertembungnya pengaruh agama Hindu yang cepat diterima pakai oleh masyarakat Melayu pada masa itu. Kebetulan pada masa itu masyarakat Melayu masih lagi mengamal kepercayaan animisma mereka. Selain daripada itu Masyarakat Melayu pada masa itu tidak mempunyai banyak perkataan yang hendak digunakan dalam mantera, dengan kata lain kurangnya perbendaharaan kata.

3.0 KESIMPULAN

Secara ringkasnya, di sini bolehlah kita katakan bahawa masyarakat Melayu memang kaya dengan mantera. Mantera – mantera ini pula menunjukkan masyarakat Melayu mempunyai pemikiran yang mendalam tentang unsur – unsur spirit ,makhluk halus dan alam nyata dan sekaligus mengambarkan kepada kita tentang corak hidup dan kepercayaan mereka. Maka di sini bolehlah kita anggap bahawa peranan mantera atau puisi Melayu Lama ini amat penting dalam masyarakat Melayu.

Memang benarlah bak dikata keindahan ungkapan pada mantera / puisi itu bukan sahaja pada bunyi dan iramanya, tetapi ia bergantung pada sekuat mana ungkapannya. Nampaknya tidak ada sumber atau genre lain yang dapat memberi gambaran tentang masyarakat Melayu selengkap mantera. Sebagai pewaris bangsa , mari kita kekalkan dan meneliti khazanah peninggalan nenek moyang yang amat berharga ini. Justeru itu, memang wajar genre mantera ini diketengahkan untuk bacaan atau pengetahuan umum supaya yang cicir boleh kita pungut dan yang hilang itu boleh kita cari ataupun ganti semula. Maka wajar sekali puisi Melayu Lama ini mempunyai nilai – nilai estetika – etika yang murni.

Bolehlah kita simpulkan di sini bahawa puisi Melayu Lama ini amat bernilai sekali buat renungan dan tatapan generasi masa kini. Justeru itu barulah mereka tahu bagaimana corak penghidupan nenek moyang mereka dahulu seperti mana yang digambarkan dalam setiap puisi Melayu Lama terutama puisi yang mempunyai kalimat tertentu dan mengandungi nilai religio mangis yang tinggi seperti mantera.

BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan. ( 1982 ). Isu - isu Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Hassan. ( 1987 ). 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Sanusi Ahmad. ( 1966 ). Peranan Pejabat Karang Mengarang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari Moain. ( 2005 ). Sejarah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Utusan Publications dan Distributors Sdn Bhd.

Ahmad Juhari Moain. ( 1996 ). Perancangan Bahasa : Sejarah Aksara Jawi. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. ( 1982 ). Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. ( 1986 ). Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Fajar Bakti Sdn Bhd.

Asmah Haji Omar. ( 1990 ). Bahasa Melayu Abad Ke - 16. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. ( 1995 ). Rekonstruksi Kata Dalam Bahasa Melayu Induk. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Byrd, Cecil K. ( 1991 ). Percetakan awal di Jajahan Selat 1806 - 1858. ( Terjemahan Mansor Ahmad Saman ). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Emeis, M.G. ( 1976 ). Bunga Rampai Melayu Kuno. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haron Daud. ( 1994 ). Kesusasteraan Klasik Manusia dan Kepercayaan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Ismail Hussein. ( 1992 ). Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Thani Ahmad dan Zaini Mohamed Zain. ( 1988 ). Rekonstruksi dan Cabang - cabang Bahasa Melayu Induk. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd Mansur Abdullah. ( 1988 ). Pengantar Kesusasteraan Melayu Lama. Kuala Lumpur : Nurin Enterprise.

Nik Safiah Karim. ( 1988 ). Linguistik Transformasi Generatif : Suatu Penerangan Pada Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Omar Amin Husin. ( 1962 ). Sejarah Bangsa dan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Pustaka Antara.

Za'ba. ( 1959 ). Pelita Bahasa Melayu I. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaiton Ab. Rahman dan Zaini Mohamed Zain. ( 1990 ). Pensejarahan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments: