Monday, September 15, 2008

PERANAN LAMAN WEB DALAM PENGUASAAN BAHASA

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Pada masa kini, kemajuan teknologi maklumat dan multimedia amat dititikberatkan di negara kita hingga kerajaan sendiri menggalakkan setiap keluarga di sebuah rumah memiliki komputer sendiri dengan slogannya "satu rumah satu komputer". Melihat kepada perkembangan dunia hari ini yang amat pesat dengan informasi dan maklumat yang boleh didapati hanya dengan menekan butang di kekunci komputer, kita dapat melayari ke serata dunia untuk memperolehi maklumat. Justeru itu, penguasaan bahasa lebih mudah dilakukan melalui penguasaan teknologi maklumat atau secara khususnya internet.

Semenjak teknologi Internet ( WWW ) dicipta dan diperluaskan perkhidmatannya untuk kegunaan pendidikan dan ekonomi dalam tahun 1993, ternyata teknologi ini memberi banyak manfaat kepada manusia sejagat. Internet merupakan suatu teknologi yang paling pantas berkembang berbanding dengan teknologi lain yang telah dihasilkan oleh manusia sebelum ini. Dalam era dunia yang bergerak pantas dan semakin global, peranan laman web yang terdapat di internet semakin relevan dan menjadi keutamaan kepada pelayar – pelayar internet bagi mencari maklumat yang berguna pada mereka.

Terdapat pelbagai jenis laman web yang berkaitan dengan pelbagai jenis bahasa yang telah dimuat turun didalam internet. Usaha sebegini amatlah diperlukan oleh pelayar – pelayar laman web yang ingin mempelajari sesuatu jenis bahasa secara mendalam ataupun sebaliknya.

1.2 Objektif Kajian

Dalam kertas kerja ini penulis mengkaji peranan laman web dalam penguasaan berbahasa, terutama sekali dalam penguasaan bahasa Melayu.

1.3 Kaedah Kajian

Kaedah yang diguna pakai di dalam menyiapkan tugasan ini ialah dengan menggunakan kaedah kepustakaan. Beberapa buah buku, modul PPL ( BBM3410 ), majalah, jurnal,dan artikel telah digunakan sebagai panduan dan rujukan semasa menyusun atur tugasan yang diberikan ini. Disamping itu penulis juga telah memilih beberapa laman web sebagai bahan kajian. Segala bahan diperolehi daripada pelbagai sumber ini dianalisis dan disusun atur mengikut kesesuaian untuk dikelas serta dikategori di bawah sub – topik tugasan.

1.4 Batasan Kajian

Untuk memenuhi syarat bagi tugasan ini penulis membataskan kajian ini dengan mengkaji empat elemen utama dalam kemahiran bahasa iaitu kemahiran menulis, membaca, mendengar dan bertutur dan memberi beberapa contoh yang dikira relevan bagi tujuan kajian ini.

1.5 Definisi Konsep

Menurut Kamus Dewan peranan bermaksud bahagian tugas yang dipegang ( 1986 : 867), laman membawa maksud halamam ( 1986 : 645 ), dalam membawa maksud jarak ( jauhnya ) ke bawah atau ke dasar dari permukaan, penguasaan membawa maksud perihal menguasai atau menguasakan ( 1986 : 612 ) manakala bahasa pula membawa maksud sistem lambang – lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia ( 1986 : 70 ).

2.0 PERANAN LAMAN WEB DALAM PENGUASAAN BERBAHASA

Mudah, cepat, pantas, pintar, cekap, canggih, sofistikated dan pelbagai lagi jolokan manusia masa kini tentang betapa agung dan gahnya komputer dan internet pada masa kini. Sebagaimana yang kita ketahui perkembangan pesat dalam teknologi maklumat membolehkan kita berhubung antara satu sama yang lain tanpa batasan ruang dan masa. Ianya menjadikan dunia ini tidak mempunyai sempadan. Kemajuan teknologi komputer ini telah mewujudkan pelbagai jenis perisian yang dimuat turun dalam beberapa jenis laman web di internet. Dalam konteks penguasaan kemahiran berbahasa, internet banyak memberi manfaat kepada pengguna dan pelajar. Pelbagai kemahiran berbahasa dapat dipelajari melalui laman – laman web di internet ini. Di antaranya ialah kemahiran menulis, membaca, mendengar dan bertutur.

2.1 KEMAHIRAN MENULIS

Kepner ( 1982 ) menyatakan bahawa pemprosesan perkataan merupakan cara yang menyeronokkan dalam kerja – kerja penulisan. Kemudahan pengeditan yang ada pada pemprosesan perkataan membuat pelajar tidak berasa takut dengan kesilapan yang dilakukan seperti kata Clements ( 1985 ) ¹;

“….This allows children to play with written words just

_______

¹Arba’ie Bin Sujud,BBM3410,Universiti Putra Malaysia,Pusat Pendidikan Luar

as freely as they play with oral language ”

Kemahiran menulis ini terbahagi kepada dua kategori iaitu kemahiran menulis secara mekanis dan kemahiran menulis untuk pelahiran ( mental ). Kemahiran menulis secara mekanis ini dapat melatih pergerakan tangan sambil membuat garisan bentuk – bentuk tertentu . Justeru itu pengguna dapat melatih tunjukcara membuat huruf berbantukan komputer. Bagi kemahiran menulis cara penglahiran pula pengguna dapat membuat latihan penyataan fikiran dan pendapat. Latihan ini dapat kita lihat dalam ruang blog dan forum dalam sesuatu laman web tersebut. Pengguna juga dapat menyatakan pendapat mereka yang tulen dan asli.

Salah satu daripada kemahiran menulis yang kita peroleh dalam laman web ialah penghantaran surat menggunakan mel eletronik ataupun E-Mel. Biasanya bahasa yang digunakan sepertimana yang terdapat dalam memo. Mesej boleh ditulis dan disalin dengan mudah untuk dihantar dan digunakan oleh orang lain. Antara aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengguna dengan menggunakan E-mel ialah :

  • Berkomunikasi secara dalaman dan luaran sesama guru, ibu-bapa, pelajar, dan pihak jabatan serta kementerian.
  • Mendapatkan khidmat nasihat pakar dan bantuan teknikal.
  • Berkongsi dan bertukar pendapat berhubung dengan proses pengajaran dan pembelajaran ; teknik pengajaran terbaik, idea kreatif dan inovatif, latihan dan penilaian, bahan bantu mengajar dan sebagainya.
  • Menghubungi agensi pusat dan swasta serta institusi pendidikan lain mengenai sesuatu program dan polisi yang digunakan khususnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.
  • Berkongsi menjalankan sesuatu projek dengan pelajar di sekolah-sekolah lain.
  • Berbincang dengan rakan dari kalangan berbagai budaya dan latar belakang negara mengenai berbagai isu semasa.
  • Mengalakkan perkembangan bahasa terutama bahasa Inggeris melalui komunikasi dengan rakan pena di luar negara.
  • Memperolehi bahan dan teknik di dalam menyelesaikan sesuatu masalah pelajaran secara "on-line".

Selain daripada E-mail, kemahiran menulis ini boleh juga kita aplikasi melalui skrin internet explorer, morzila firefox, google dan bermacam lagi injin pencari di internet yang ada. Dalam penggunaan skrin ini kita boleh menulis sesuatu teks dengan tulisan yang mudah, kemas, terperinci, dengan pelbagai saiz tanpa melakukan kesilapan. Bar alatan yang terdapat di hamparan skrin dapat memudahkan seseorang itu menguasai kemahiran menulis dalam pengajaran bahasa dengan cepat dan mudah mengikut font yang dikehendaki seperti contoh di bawah ini :

Rajah 1: Paparan tapak untuk menulis E-mail

Menerusi beberapa laman web ini penguasaan bahasa terutamanya berkaitan dengan kemahiran menulis dapat berlaku secara teratur. Selain daripada itu kita juga boleh menguasai kemahiran menulis ini dengan menggunakan alamat web yang dipanggil URL ( Uniform Resource Location ). Contohnya , URL : http://karyanet.com, http://dbp.gov.my bagi merujuk laman web tentang karya kreatif dan sebagai bahan rujuk berbahasa yang paling cepat capaiannya. Justeru itu ianya dapat memperbaiki kemahiran menulis disamping dapat membalas maklumat dengan arahan yang dikeluarkan. Dengan menggunakan beberapa laman web ini kita dapat mempelajari pelbagai kemahiran bahasa disamping dapat memperkembangkan bakat dan minda.

2.2 KEMAHIRAN MEMBACA

Penggunaan web browser membolehkan pengguna meneroka dan membaca sambil melihat fail – fail dalam World Wide Web. Biasanya paparan pada setiap laman web sememangnya menjurus pada bacaan dan pemahaman. Menurut Smith ( 1998:12 ), membaca merupakan satu bentuk komunikasi. Membaca merupakan percantuman beberapa proses yang kompleks iaitu proses mengamati, mengingat, mendengar, membezakan bunyi – bunyi dengan tepat, menyebut lambang – lambang huruf, mengabungkan bunyi membentuk perkataan dan memindahkan lambang – lambang yang dibaca kepada sistem kognatif untuk diterjemahkan dan difahami.

Sebagai pengguna laman web sudah pasti tidak akan membaca artikel dalam laman itu dengan teliti. Sebagai penyelesaian pelayar hendaklah mengetahui beberapa cara dan teknik membaca laman web tersebut. Kaedah begini akan memudahkan seseorang pengguna tersebut menguasai bahasa. Di antara teknik membaca yang sesuai sekali untuk membaca beberapa laman web ini adalah seperti berikut :

2.2.1 Membaca sekilas ( Skimming )

Oleh sebab petikan dan maklumat yang terdapat dalam laman web terlalu banyak hendak dicapai maka teknik membaca secara sepintas lalu ini amat sesuai kita gunakan untuk menguasai bahasa dalam sesuatu maklumat di dalam sesuatu tapak web. Teknik sebegini membolehkan mata kita bergerak cepat untuk memerhatikan bahan bertulis, menemukan serta mendapatkan informasi tertentu. Cara ini pengguna dapat memperolehi kesan secara umum daripada bahan yang dibaca. Dalam proses ini seseorang pengguna itu dapat meninjau halaman judul, kata penghantar, daftar isi, indeks atau abstrak yang disediakan di laman tertentu, di samping dapat memberi gambaran secara umum tentang sesuatu buku atau pun artikel. Teknik bacaan begini bertujuan untuk menemukan hal – hal tertentu daripada bahan yang dibaca. Justeru itu kita dapat menentukan dengan jelas tentang fakta yang dicari dalam sesuatu laman web itu.

Selain daripada itu kita juga dapat menggunakan kata kunci atau penanda wacana , indeks dan daftar kata sesuai, di samping keupayaan kita melirik perkataan atau ayat bagi sesuatu halaman itu dengan cepat. Melalui teknik bacaan ini pengguna juga menemukan bahan rujuk dengan cara yang mudah kerana pengguna dapat menepatkan bahan – bahan rujukan secara storan. Kemahiran membaca sekilas amat penting untuk mengesan sumber bahan yang tepat dan pantas. Secara tidak langsung kita akan dapat menguasai sesuatu bahasa itu dengan teknik bacaan sebegini.




Rajah 2 : Sebuah artikel di laman Web boleh dibacaan secara sekilas

2.2.2 Membaca sepintas ( Scanning )

Teknik bacaan ini membolehkan pengguna memerhati teks secara pantas untuk mencari sesuatu informasi di samping untuk mendapat kesahihan sesuatu data sama ada sesuai atau pun sebaliknya. Bacaan sepintas ini membantu seseorang pengguna itu berfikir lebih kreatif dan cepat memberi keputusan.

2.2.3 Membaca Intensif

Memang tidak dapat kita nafikan bahawa banyak bahan bacaan yang terdapat dalam laman web di internet. Untuk mendapat maklumat yang lebih berkesan, seseorang pengguna mestilah membaca artikel tersebut secara teliti kerana teknik bacaan intensif ini melibatkan telaah bahasa dan isi bagi sesuatu artikel yang kita kehendaki terutamanya dalam penguasaan berbahasa. Dalam bacaan intensif ini aspek yang dipentingkan adalah tentang ketelitian, pemahaman, kekritisan berfikir serta ketrampilan memahami idea yang diketengahkan.




Rajah 3 : Gambaran artikel di laman web boleh dibaca secara intensif

2.2.4 Membaca Ekstensif

Membaca secara ekstensif ini melibatkan tiga perkara iaitu membaca tinjauan ( survey reading ), membaca sekilas ( skimming ) dan membaca dangkal( supertical reading ). Teknik bacaan sebegini memerlukan pengguna membaca sebanyak mungkin teks dalam masa tertentu. Teknik bacaan ini sesuai bagi pengguna yang mempunyai pengertian dan pemahaman pada tahap yang rendah.

.

Rajah 4 : Sesuai dijadikan untuk dijadikan bahan bacaan ekstensif

2.2.5 Membaca Kritis.

Teknik bacaan secara kritis ini melibatkan penggalian lebih mendalam. Kegiatan bacaan seperti ini dilakukan secara bijaksana, penuh teliti, mendalam, evaluatif dan analitis. Justeru itu pengguna dapat mengetahui justifikasi seseorang penulis apabila mengutarakan sesuatu kenyataan. Teknik bacaan sebegini membolehkan pengguna mengkaji sesuatu perkara dan seterusnya menemukan alasan – alasan tertentu bagi sesuatu maklumat.

2.3 KEMAHIRAN MENDENGAR

Kemahiran mendengar merupakan kemahiran lisan yang paling asas dan berlaku pada peringkat penerimaan. Kemahiran mendengar dikategorikan pada tiga peringkat iaitu peringkat awal, pertengahan dan maju. Pada peringkat awalnya pengguna akan mengecam, mengajuk dan memilih bunyi. Pada peringkat ini juga pengguna akan mengecam bunyi, melakukan arahan yang disuruh, kemudian bertindak terhadap soalan – soalan yang mudah dan seterusnya pengguna akan mengingat dan memadankan perkataan dan ayat mudah secara tepat. Bagi peringkat pertengahannya pula kita akan dapat mengecam, mengingat fakta dan butiran secara tepat dan teperinci. Pada peringkat ini juga kita akan mengenal informasi – informasi yang saintifik di samping dapat mengenal perhubungan orang yang berinteraksi dan mengenal sikap dan perasaan orang yang bercakap.

Di peringkat maju pula pengguna akan mengenal peranan dan perhubungan orang yang bercakap dan boleh mentafsirkan maksud orang yang bercakap. Seandainya terdapat beberapa masalah di peringkat ini pengguna dapat mencari jalan untuk mengatasi masalah yang tersebut. Kemahiran mendengar ini boleh kita lihat daripada persidangan video dan sesi pengajaran menggunakan lintas langsung dan rakaman seperti mana yang dipratikkan oleh Universiti Putra Malaysia bagi program pengajian pendidikan jarak jauhnya yang dikenali sebagai ( LIP dan PERL ) di samping itu kita juga boleh melayari laman web ini di alamat : http://www.vod.upm.edu.my. Di laman ini kita akan mendapat pelbagai jenis informasi daripada rakaman langsung yang dibuat oleh pihak yang bertanggujawab.




Rajah 5 : Rakaman Dari Vod UPM sesuai bagi kemahiran mendengar

2.4 KEMAHIRAN LISAN

Memang tidak dapat kita nafikan bahawa kemahiran lisan merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh manusia. Apabila manusia itu telah menguasai kemahiran lisan maka mudah bagi seseorang itu melakukan pengkongsian maklumat di samping dapat melahirkan idea – idea yang boleh diguna pakai. Justeru itu kemahiran lisan juga memberi persediaan kepada penguasaan kemahiran berbahasa. Boleh dikatakan sekiranya seseorang itu dapat membina ayat secara lisan dengan betul ianya juga akan dapat membantu mereka menguasai kemahiran menulis ayat dengan baik dan menggunakan struktur bahasa yang tepat. Kemahiran lisan ini juga dapat melatih kita mendengar dan memahami pertuturan seseorang itu dengan lebih baik. Di samping itu ianya juga membolehkan kita berhubung dengan orang lain secara tepat untuk menyatakan kehendak, perasaan, pengalaman serta mengutarakan pendapat dan pandangan yang berkesan.

Selain daripada itu kemahiran ini juga membolehkan seseorang bertutur dengan ayat – ayat yang tersusun di samping dapat menggunakan perkataan – perkataan yang sesuai dengan perbendaharaan kata yang meluas. Apabila kemahiran lisan ini dapat dikuasai dengan cara yang mendalam maka ianya dapat mendorong seseorang itu untuk menguasai kemahiran bahasa yang lain selain daripada bahasa pertama iaitu bahasa ibunda dan seterusnya dapat menguasai kemahiran bahasa secara menyeluruh.

Penguasaan kemahiran lisan ini banyak memberi kebaikan kepada seseorang. Di antaranya ialah seseorang itu boleh bercakap dengan tenang dalam gaya yang betul, boleh berbincang dan berkomunikasi dengan baik dan kita juga boleh bertutur dalam nada, intonasi, tekanan yang baik. Selain daripada itu kita juga dapat mengemukakan pendapat secara bernas dan membuat sesuatu pengumuman tentang sesuatu perkara dengan jelas dan tepat dengan adanya keyakinan dan kepercayaan kepada diri.

Penguasaan kemahiran lisan yang baik mampu membuat seseorang insan itu dikenali dan dihormati ramai. Seseorang yang mempunyai kemahiran lisan yang baik akan bertutur dengan penuh adab sopan, tutur kata tersusun dengan rapi dan mudah difahami. Justeru itu ianya dapat memberi rangsangan dan sesuai dengan topik yang dibincangkan. Kemahiran lisan ini juga dapat memberi galakan pada percambahan idea – idea baru.

Salah satu laman yang memudahkan kita untuk bercakap secara langsung di ruang siber ialah dengan menggunakan program aplikasi yang dinamakan IRC ( Internet Relay Chat ). Melalui laman ini kita boleh bersembang dengan sesiapa sahaja selagi pengguna itu ada di atas talian. Begitu mudah, senang dan murah perbelanjaannya.

2.0 PENUTUP

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa laman web mempunyai peranan yang penting dalam penguasaan berbahasa bersesuaian dengan beberapa kemahiran bahasa yang ada pada setiap individu itu. Penguasaan beberapa kemahiran seperti membaca, menulis, mendengar dan bertutur memudahkan seseorang pengguna itu untuk menguasai kemahiran berbahasa. Selain daripada itu pengguna juga boleh meningkatkan kemahiran berfikir, kemahiran bahasa dan kemahiran berkomunikasi.

Seterusnya kemunculan internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video. Fenomena ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa .

Pada pragmatiknya, situasi ini merupakan satu percubaan yang menarik dalam evolusi bahasa. Namun demikian manipulasi bahasa seumpama ini jika tidak dibendung mampu memudaratkan pengguna dan nilai bahasa itu sendiri. Amalan seperti ini akan menghasilkan ayat-ayat yang tidak gramatik kerana menyeleweng daripada hukum-hukum tatabahasa. Timbul juga perkembangan pemelatan kata-kata, kata-kata bersifat irama, istilah spesifik dan penggunaan simbol-simbol dengan tujuan untuk memeriahkan suasana perbualan, kemesraan dan peringkasan teks dalam berkomunikasi di peringkat maya.

Tidak hairanlah kerajaan menggalakkan kita menguasai bidang ICT ini. Mungkin pada suatu hari kelak pasti kita akan dapat menguasai beberapa bahasa yang terdapat di dalam dunia ini . Laman web memang berperanan dalam memberikan maklumat dan memudahkan pengguna mendapatkan pelbagai maklumat selain merujuk buku dan bahan bacaan. Ini bermakna bahan dan maklumat yang diperolehi boleh membantu dalam menguasai atau memahirkan penguasaan berbahasa.

BIBLIOGRAFI

Abdul Rashid Jamian & Arba’ie Sujud ( 2007 ). Integrasi Media : Pengajaran Bahasa Dan Sastera. Kuala Lumpur : Budiman Sdn.Bhd.

Arba’ie Sujud ( 2007 ). Bahasa Dalam Multimedia. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi : UPM Serdang.

Asha Kalbag ( 2001 ). Jaringan Sejagat – Peringkat Permulaan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia ( 2003 ). Buku Panduan My School Net : Alam Pendidikan Siber

Norhashim Abu Samah, Mazlan Youp & Rosalinda Alias ( 1996 ). Pengajaran Berbantukan Komputer. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Shaifol Bahary Sulaiman ( 2004 ). Teknologi Maklumat Untuk Institusi Perguruan. Kuala Lumpur : Federal Publication

No comments: